Tuesday 28 February 2012

Rempah Ratus

Rempah Ratus



Wilayah-wilayah di sebelah timur mempunyai bekalan rempah yang banyak dan berkualiti. Lambakan bekalan rempah yang berkualiti tersebut berlaku kerana faktor semulajadi di wilayah Nusantara seperti iklim dan kesuburan tanah. Fakta ini tidak dapat dinafikan lagi kerana ianya tercatat di dalam sejarah Nusantara. Pada zaman kerajaan Melayu Melaka, penggunaan rempah ialah sebahagian daripada kehidupan penduduk di zaman tersebut.

Antara contoh-contoh rempah ratus yang ada ialah kayu manis, kunyit,buah pelaga, dan serai. Kayu manis berharga tiga dolar untuk sekilo. Kunyit dan buah pelaga dua-dua berharga dua dolar untuk sekilo. Serai berharga lima puluh sen untuk lima batang.


Apabila kayu manis digunakan dalam bentuk asalnya, bahagian kulit kayu akan digoreng dalam minyak yang panas hingga gulungan dibuka untuk memberikan aroma. Ketulan kayu manis selalunya dikeluarkan sebelum masakan dihidang, tetapi ada juga yang menjadikannya hiasan untuk menambahkan aroma. Jika serbuk kayu manis yang dipilih, ia dimasukkan ke dalam masakan sebelum ia dihidangkan kerana memasaknya akan meninggalkan rasa yang sedikit pahit.

Kunyit merupakan bahan utama di dalam serbuk kari. Rizomnya dimasak, dikeringkan dan kemudiannya dikisar atau ditumbuk untuk menghasilkan serbuk. Terdapat pelbagai aplikasi kunyit, antaranya di dalam minuman bertin, dan masakan berkuah seperti gulai dan kari.
Buah pelaga yang dikeringkan digunakan untuk menambah rasa yang unik ke dalam nasi, daging, sayuran dan pelbagai masakan lain. Sama ada sebiji ataupun dikisar, boleh dicampur ke dalam minuman kopi, teh, kuih-muih dan kek. Ia boleh ditumbuk hingga nampak kesan lebam dan digoreng sebelum menambah bahan utama masakan ke dalam kuali, atau ditumbuk sehingga hancur bersama dengan bahan rempah yang lain. Kulitnya itu sendiri mempunyai rasa yang asli dan selalunya tidak digunakan kerana akan meninggalkan rasa yang pahit di dalam masakan.
Serai mempunyai rasa seakan-akan limau dan boleh digunakan secara kering, serbuk atau segar. Tangkainya sukar untuk dimakan kerana keras tetapi bahagian dalamnya lembut. Serai boleh dipotong dan digunakan sebagai bahan dalam resipi. Ia juga boleh ditumbuk dan digunakan keseluruhan batang kerana ia akan mengeluarkan minyak aromatik daripada kantung jusnya. Serai selalunya digunakan di dalam minuman teh, sup dan kari.